Saturday, May 9, 2009

Makna Sifat al-Jabbar dan al-Mutakabbir

Sifat Al-Jabbar dan Al-Mutakabbir adalah sifat kesempurnaan bagi Allah. Ada orang menterjemahkannya kepada makna ‘samseng’ dan ‘sombong’. Adakah terjemahan seperti ini menunjukkan kesempurnaan bagi sifat-Nya? dan adakah terjemahan seperti ini tepat dan dibolehkan?

Apabila kita berbicara tentang kesempurnaan sifat dan nama, adalah dimaklumi bahawa ada sifat dan nama yang sempurna untuk Allah sahaja, tidak untuk makhluk, iaitu sifat atau nama ini memuji Allah tetapi menghina makhluk. Contohnya nama Al-Jabbar. Nama ini memuji Allah tetapi jika digunakan untuk manusia akan membawa makna zalim atau tidak adil.

Umat Islam telah diajar daripada dahulu sehingga sekarang bahawa sifat-sifat Allah adalah sempurna belaka. Bukan itu sahaja, bahkan sifat-sifat ini juga layak untuk Allah. Satu perkara yang mesti diketahui oleh umat Islam yang berpegang dengan akidah Ahlus Sunnah ialah nama dan sifat-sifat Allah adalah satu perkara ‘tawqifi’ iaitu suatu yang tidak boleh direka-reka sebaliknya ianya mestilah bersumberkan nas daripada Al-Qur'an, hadis serta ijmak.

Imam Hasan Al-Banna dalam risalah akidahnya berkata, yang bermaksud: "Al-Jabbar ialah yang melaksanakan perintah-perintahNya". (Imam Hasan Al-Banna: Majmu'ah Rasa'il Al-Imam Al-Syahid Hasan Al-Banna)

Bahkan Imam Hasan Al-Banna dalam risalah akidahnya itu turut menyatakan, yang bermaksud: "Ketahuilah bahawa jumhur kaum muslimin berpendapat bahawa tidak boleh menamakan Allah Tabaraka Wa Taala dengan suatu nama atau sifat yang tidak disebut oleh syarak, dengan maksud mengambil nama tersebut menjadi nama Allah Taala sekalipun ia merasakan bahawa maknanya sempurna. Maka tidak boleh kita mengatakan (pada Allah Taala): Jurutera Alam Yang Paling Agung, dan tidak boleh juga kita menyatakan misalnya: Pengarah Urusan Bagi Hal-Ehwal Makhluk". (Majmu'ah Rasa'il Al-Imam Al-Syahid Hasan Al-Banna, m/s: 423)

Sementara tentang pengertian Al-Mutakabbir pula para ulama ahlus sunnah memberikan pengertian seperti berikut:

Imam Al-Qurtubi berkata di dalam tafsirnya mengenai makna Al-Mutakabbir, yang bermaksud: "Dia yang yang Maha Tinggi dengan rububiyah-Nya dan tiada suatu yang menyerupai-Nya”. (Rujuk Al-Jami' Li Ahkam Al-Qur'an – al Qurtubi)

Al-Syaukani pula berkata, yang bermaksud Al-Mutakabbir: "Dia yang Maha Tinggi dari segala kekurangan dan Maha Agung dari segala apa yang tidak layak bagi-Nya". (Rujuk Fath Al-Qadir)

Imam Hasan Al-Banna pula menyatakan, yang bermaksud Al-Mutakabbir: "Dia yang Maha Tinggi dari segala sifat makhluk yang tersendiri dengan sifat-sifat keagungan-Nya". (Majmu'ah Rasa'il Imam Al-Syahid Hasan Al-Banna, m/s: 421)
Jadi adalah satu kesilapan yang nyata menafsirkan makna Al-Mutakabbir dengan makna sombong kerana sifat sombong adalah sifat makhluk yang keji yang tidak layak disandarkan kepada Allah Taala.

Jika setiap orang bebas memberi nama atau sifat kepada Allah Taala tanpa berpandukan syarak, maka akan ada misalnya yang mengatakan bahawa Allah itu Doktor Yang Maha Agung dengan maksud bahawa Allah Taala berkuasa menyembuhkan sebarang penyakit. Oleh itu mengikut ajaran ahlus sunnah, nama-nama dan sifat-sifat bagi Allah mestilah berpandukan nas-nas syarak.

Sesungguhnya kita semua akan dihisab atas segala amal dan perbuatan kita. Maka pada ketika itu tiada lagi berguna harta, anak-anak dan para pengikut, melainkan orang yang menemui Allah dengan hati yang sejahtera.

Allah berfirman yang bermaksud “Barang siapa yang ingin menemui Tuhannya maka hendaklah dia beramal soleh dan jangan dia menyekutukan Allah dengan sesuatupun” [surah al-Kahfi ayat 110]

Wallahu Taala A’lam wa Ahkam.

Read more...

Saturday, May 2, 2009

AKIDAH AHLUSSUNNAH SEBENAR

Kemunculan fahaman akidah yang pelbagai sejak akhir-akhir ini dari pelabagai tokoh-tokoh tertentu dengan ditambah lagi dengan buku-buku mereka yang bertebaran luas dipasaran dan disimpan di pustaka-pustaka pusat pengajian tinggi telah mengelirukan masyarakat, oleh itu adalah menjadi kewajipan untuk mempertahan kesucian agama ini dari dipesongkan oleh anasir-anasir yang jahat dan tidak faham dengan iktikad sebenar Ahlussunnah.

Ketahuilah wahai umat Islam sekalian bahawa Ahlussunnah yang sebenar adalah mereka yang berpegang teguh dengan Manhaj al-Assyaairah dan al-Maturidiah.

Imam Faqih al-Murtaza az-Zabidi berkata dalam kitabnya 'Ithaf Saadatul Muttaqin Syarah Ihya' Ulumuddin' :

"Apabila disebut Ahlussunnah Wal Jamaah yang dikehendaki di situ ialah pengikut mazhab (mazhab yang dimaksudkan disini ialah mazhab Akidah) Imam Abu Hassan al-Assyaari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi"

Maka kita faham disini ialah mereka yang berada dilandasan Ahlussunnah ialah daripada pengikut Imam Abu Hassan al-Asyaari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi kerana kedua-dua Imam tersebut telah bertalaqi (menadah) ilmu akidah mereka daripada Imam mazhab empat, Imam Abu Hassan telah mengambil ilmunya daripada dua mazhab iaitu Maliki dan Syafie, manakala Imam Abu Mansur al-Maturidi pula telah mengambil ilmunya mazhab yang lain iaitu mazhab Imam Abu Hanifah. Imam Abu Hanifah mempunyai kitab-kitab yang akidah yang masyhur antaranya ialah kitab 'Fekhul Akbar', 'Fekhul Absat', 'Al-Aalim Wal Mutaallim' dan kitab 'Al-wasiyyah'.

Kedua-dua Imam besar ini dan ulama yang datang selepas mereka telah menulis buku-buku untuk menolak dan mematikan fahaman golongan-golongan yang bid'ah dan sesat dengan menggunakan hujah yang kuat daripada al-Quran, sunnah dan juga akal. Imam Abu Hassan wafat pada tahun 324 hijrah manakala Imam Abu Mansur pula wafat pada tahun 333 hijrah iaitu selepas kewafatan Imam Abu Hassan dengan jarak yang hampir.

Ahlussunnah Wal Jamaah akhirnya dikenal dengan nama al-Asy’ariyyun (para pengikut imam Abu al-Hasan Asy’ari) dan al-Maturidiyyun (para pengikut imam Abu Mansur al-Maturidi). Sebenarnya jalan yang ditempuh oleh Imam Abu Hasam Assyaari dan Imam Abu Mansur a-Maturidi dalam asas akidah adalah sama dan satu.

Dengan itulah apabila ulama menyebut Mazhab Ahlussunnah Wal Jamaah yang dimaksudkan oleh mereka ialah mazhab Imam Abu Hassan al-Asyaari dan mazhab Imam Abu Mansur al-Maturidi kerana mereka berdualah yang telah membawa Akidah yang sebenar seperti mana yang dibawa oleh sahabat Rasullullah, tabien dan golongan salaf. Golongan salaf yang dimaksudkan disini ialah mereka yang hidup pada 3 kurun pertama selepas kewafatan nabi Sallallah Hualaihissalam seperti mana yang di tafsirkan oleh Ibnu Asakir.

Syaikh al-Fakih al-Usuli al-Zarkashi berkata dalam kitabnya Tashniful Masami' mafhumnya:

“Imam Abu Bakar al-Ismaili berkata: Allah telah mengembalikan agama ini selepas pemergian beberapa ulama dengan Imam Ahmad bin Hanbal dan Imam Abu Hassan Assyaari dan Abu Nuaim al-Istirabaazi, Abu Ishak al-Marwazi berkata : aku mendengar al-Mahamali berkata mengenai Abu Hassan Assyaari : sekiranya Allah mendatangkan dosa yang banyak, aku memohon kepada Allah supaya diampunkan dosanya kerana dia telah mempertahankan agamanya, manakala Ibnu Arabi pula berkata : pada satu ketika dulu golongan Muktazilah telah mengangkat kepala mereka sehinggalah Allah menzahirkan Imam Abu Hassan Assyaari dan menjatuhkan mereka serta menyempitkan kumpulan mereka".

Begitu juga yang di katakan kepada Imam Abu Mansur al-Maturidi kerana dia juga bangun menegakkan akidah golongan 'Salaf ' dengan hujah-hujah Naqliyyah (al-Quran dan Sunnah) dan juga hujah Aqliyyah (akal).

Mereka berdua telah membawa akidah salaf yang mana Akidah yang tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu dan tidak menyamakan Allah dengan makhluk yang diciptanya inilah Akidah Ahlussunnah yang dibina berdasarkan kepada ayat al-Quran surah As-Syura ayat yang ke 11:

ليس كمثله شئ وهو السميع البصير
Maksudnya: “Dia tidak menyerupai sesuatu pun dan Dia maha mendengar lagi maha melihat”.

Dan inilah Akidah Salafussoleh yang diambil oleh ulama khalafussoleh (ulama yang datang selepas golongan salafussoleh), dan inilah jalan yang di bawa oleh dua Imam tersebut untuk menegakkan Akidah yang sebenar, maka Akidah yang sebenar ialah Akidah dari mazhab Imam Abu Hasan Assyaari dan daripada Abu Mansur al-Maturidi yang mana mazhab ini telah diikuti oleh seluruh pelusuk umat islam di muka bumi ini atau yang pernah disebut oleh nabi dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abi Umamah sebagai Sawadul a'zom.

Oleh itu, sangat banyak ulama yang menulis kitab-kitab khusus mengenai penjelasan akidah Ahlussunnah Wal Jama’ah ini. Seperti Risalah al-Akidah ath- Thahawiyyah karya al-Imam Abu Ja’far ath-Thahawi [W.321H], kitab al-Akidah an-Nasafiyyah karangan al Imam ‘Umar an-Nasafi [W.537H], al-Akidah al-Mursyidah karangan al-Imam Fakhr ad-Din ibn ‘Asakir [W.630H], al-Akidah as-Solahiyyah yang ditulis oleh al-Imam Muhammad ibn Hibatillah al-Makki [W.599H], beliau menamakannya Hadaiq al-Fusul wa Jawahir al Uqul, Kemudian menghadiahkan karyanya ini kepada Sultan Solahuddin al-Ayyubi [W.589H]. Tentang risalah aqidah yang terakhir disebutkan, Sultan Solahuddin sangat tertarik dengannya hingga beliau memerintahkan untuk diajarkan sampai kepada anak-anak kecil di madrasah-madrasah, yang akhirnya risalah aqidah tersebut dikenali dengan nama al-Akidah as-Solahiyyah. Sultan Solahuddin adalah seorang alim yang bermazhab Imam Syafiie, mempunyai perhatian khusus dalam menyebarkan Aqidah as-Sunniyyah. Beliau memerintahkan para muadzdzin (tukang azan) untuk mengumandangkan Akidah as-Sunniyyah di waktu tasbih (sebelum azan shubuh) pada setiap malam di semua negara jajahannya seperti di Mesir, seluruh negara Syam (sekarang Syam terdiri dari negara Syiria, Jordan, Palestin dan Lubnan), Mekah, Madinah, dan Yaman sebagaimana dikemukakan oleh al Hafiz as-Suyuthi [W.911H] dalam al Wasa-il ila Musamarah al Awa-il dan lainnya.

Begitulah serba ringkas yang dapat dijelaskan disini mengenai akidah yang sebenar iaitu akidah Ahlussunnah semoga penerangan yang ringkas ini dapat menjelaskan dan menerangkan kekaburan yang ada serta menjadi pedoman kepada kita semua untuk mempertahankan Akidah Ahlussunnah sepertimana yang dipertahankan oleh ulama-ulama terdahulu.

Read more...

About This Blog

About This Blog

  © Free Blogger Templates Spain by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP