Saturday, April 25, 2009

KESILAPAN YANG PERLU DIPERBETULKAN

Di Petik dari Blog: http://usrahzonpiasau.blogspot.com/

Kesempatan kali ini kita akan berbicara tentang beberapa kesilapan yang sering dilakukan oleh orang Melayu beragama Islam yang berkaitan dengan perkara akidah.

Seringkali terjadi apabila mereka ditanya: Di manakah Allah? Mereka akan menjawab: Allah berada di mana-mana.

Jawapan ini adalah salah bahkan jika orang yang berkata demikian berkeyakinan bahawa Allah itu berada di mana-mana dengan maknanya yang sebenar (iaitu Allah tinggal di tempat tersebut) maka mereka boleh jatuh hukum riddah.

Jawapan yang paling tepat mengikut mazhab Ahlus Sunnah wal Jamaah ialah 'Allah wujud tanpa berhajat kepada tempat'. Allah yang menciptakan tempat maka adalah mustahil Dia berhajat kepada tempat untuk menjadi tempat tinggalnya.

Tapi sekiranya orang yang berkata Allah itu berada di mana-mana dengan maksud ilmu Allah itu di mana-mana, iaitu segala perbuatan makhluk tidak terlepas daripada pengetahuan-Nya maka di sini dia tidak jatuh kufur kerana dia tidak beriktikad bahawa Allah tinggal di tempat tersebut. Tetapi jawapan yang paling tepat sekali ialah dengan mengatakan Allah wujud tanpa bertempat sepertimana yang dinyatakan di atas tadi.

Suka saya nyatakan di sini bahawa umat Islam perlu berhati-hati daripada golongan yang mengatakan bahawa Allah itu tinggal di langit atau Allah itu duduk di atas Arash sepertimana seorang raja duduk di atas takhtanya. Sesiapa yang beriktikad sedemikian maka jatuh hukum riddah ke atasnya kerana dia telah menyamakan Allah dengan makhluk kerana makhluk berhajat kepada tempat.

Dan Allah telah berfirman:

ليس كمثله شئ وهو السميع البصير

Maksudnya: “Dia tidak menyerupai sesuatu pun dan Dia maha mendengar lagi maha melihat”. (As-Syura:11).

Allah yang menciptakan Arash dan langit, maka bagaimana pula Allah berhajat kepada makhluk ciptaan-Nya sendiri?

Firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 97:

فإن الله غنيّ عن العالمين

Maksudnya: “maka sesungguhnya Allah Maha kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk”.

Imam Ali berkata: Allah mencipta Arash sebagai membuktikan kekuasaan-Nya bukan mengambilnya sebagai tempat untuk diri-Nya.

Dan Abu Mansur Al-Baghdadi juga berkata: "Ahlus Sunnah telah berijmak (bersepakat) bahawa Allah itu tidak bertempat".

Oleh itu adalah amat penting bagi umat Islam menjaga kesucian akidah mereka daripada dipermainkan oleh golongan yang cuba menyesatkan mereka dengan cara yang halus. Semoga Allah selamatkan kita daripada tipu daya mereka. Amin!

Wallahu A’lam wa Ahkam.
Abu Nizar.

Nota: Arash adalah makhluk ciptaan Allah yang terbesar sekali. Arash terletak di atas langit yang ke tujuh. Ia menjadi bumbung kepada syurga.

Read more...

About This Blog

About This Blog

  © Free Blogger Templates Spain by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP