Saturday, March 22, 2008

Kewujudan Allah Tanpa Bertempat

Kewujudan Allah Tanpa Bertempat

Allah swt berfirman yang maksudnya:"Tiada suatupun yang menyerupai-Nya". (As-Syura:11)

Ahlus sunnah menjadikan ayat ini sebagai dalil bahawa Allah itu wujud tanpa memerlukan tempat. Kerana yang wujud dengan bertempat hanyalah makhluk ciptaan Allah. Dan Allah tidak menyerupai suatupun makhluknya. Oleh itu Allah tidak berhajat kepada tempat.

Dalil daripada hadis pula ialah sabda Rasulullah yang bermaksud: "Allah telah wujud dan tiada suatu yang lain wujud selain-Nya". (hadis riwayat Bukhari dan Al-Baihaqi)

Hadis ini menunjukkan bahawa sejak azali tiada suatupun yang wujud melainkan Allah sahaja kerana Allah wujud tanpa ada bagi-Nya permulaan. Pada azali tiada suatupun makhluk yang wujud samada cahaya, kegelapan mahupun tempat.

Jadi Allah telah sedia wujud sebelum adanya tempat. Selepas diwujudkan tempat maka Allah masih dalam keadaan asal-Nya iaitu tanpa bertempat.

Mereka yang mengatakan bahawa Allah berada di tempat tertentu selepas terciptanya tempat tersebut, sesungguhnya telah menjadikan Allah itu bertukar dan berubah. Dan setiap benda yang berubah adalah makhluk kerana sifat makhluk adalah berubah-ubah.

Mereka telah menyamakan Allah dengan makhluk tanpa mereka sedari. Perhatikan setiap makhluk yang wujud di dunia ini semuanya berubah. Manusia misalnya berubah daripada kecil kepada dewasa kemudiannya menjadi tua seterusnya menemui ajal. Begitu juga dengan haiwan dan binatang yang melata semuanya mengalami perubahan.

Jadi bagaimanakah mereka boleh mengatakan Allah itu wujud dengan bertempat?

Jika mereka katakan kepada anda bahawa Allah itu tinggal di langit maka katakan kepada mereka: "Sebelum langit dicipta, di mana Allah tinggal pada masa itu?".

Begitu juga jika mereka katakan kepada anda bahawa Allah itu duduk di atas Arash maka katakan kepada mereka: "Sebelum diciptakan Arash maka di mana Allah duduk?".

Jika mereka mengatakan sebelum langit dicipta Allah wujud tanpa bertempat, tapi selepas langit dicipta maka Allah tinggal di langit, maka katakan kepada mereka: "Sesungguhnya kamu telah menjadikan Allah itu bertukar dari satu keadaan kepada keadaan yang lain iaitu daripada tidak bertempat kepada bertempat dan ini adalah sifat makhluk. Kamu telah menyamakan Allah dengan manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan serta makhluk-makhluk yang lain kerana kesemua makhluk tersebut berubah. Dan barangsiapa yang menyamakan Allah dengan makhluk maka dia tidak mengenali tuhannya dan dia dengan itu juga telah kufur kepada tuhannya".

Kata-kata ulama ahlus sunnah yang menyatakan bahawa Allah itu tidak bertempat:
1. Imam Abu Mansur Al-Baghdadi (wafat 429 hijrah) di dalam kitabnya Al-Farqu Bainal Firaq berkata: "Ahlus sunnah telah berijmak bahawa Allah wujud tanpa bertempat".

Jadi barangsiapa yang menyalahi pendapat ini maka ketahuilah bahawa dia bukan dari golongan ahlus sunnah walaupun dia mendakwa sedemikian, bahkan ketahuilah bahawa dia itu seorang MUSYABBIHAH iaitu orang yang menyerupakan Allah dengan makhluk.

2. Imam Abu Mansur Al-Baghdadi dan Ar-Ramli meriwayatkan daripada Saidina Ali bahawa beliau berkata: "Allah telah ada sebelum wujudnya tempat, dan keadaan-Nya sekarang seperti keadaan asal-Nya (iaitu tanpa bertempat)". Lihat kitab Al-Farqu Bainal Firaq dan Fatawa Shamsuddin Ar-Ramli.

3. Al-Hafiz Murthado Az-Zabidi di dalam kitabnya Syarah Ihya' meriwayatkan daripada Imam Ali Zainul Abidin bahawa beliau berkata: "Maha Suci Allah, sesungguhnya Engkau tidak bertempat".

4. Imam Tajuddin Muhammad bin Hibatillah Al-Makki di dalam kitab akidahnya yang dinamakan 'Hadaiq Al-Fusul Wa Jawahir Al-Usul', yang mana kemudiannya dikenali dengan nama 'Akidah Solahiyah' iaitu nisbah kepada Sultan Salehuddin Al-Ayyubi berkata:

"Sesungguhnya Dia telah wujud dan tempat tidak wujud Dan keadaan-Nya sekarang seperti mana keadaan asal-Nya Maha Suci Allah daripada berada pada tempat Dan Maha Suci Allah daripada berubah dengan masa"

Nota: Akidah ini diperintahkan oleh Sultan Salahuddin Al-Ayyubi supaya diajar kepada kanak-kanak disekolah-sekolah pada zaman itu. Sultan Salahuddin seorang yang bermazhab Syafie. Beliaulah yang membebaskan Masjid Al-Aqsa (Al-Quds) daripada tangan tentera salib Kristian.

Ketahuilah bahawa pada zaman ini telah wujud satu golongan yang menamakan diri mereka sebagai 'ahlus sunnah wal jamaah' (ahlus sunnah palsu) dan menyebarkan akidah bahawa Allah itu tinggal di langit dan duduk di atas Arash.

Mereka adalah pengikut kepada Ibnu Taimiyyah Al-Harrani yang wafat pada tahun 728 hijrah. Dan Ibnu Taimiyyah ini mempunyai seorang ank murid yang kuat memperjuangkan idea-idea beliau yang bernama Ibnul Qayyim Al-Jauziyah. Dan Ibnul Qayyim Al-Jauziyah ini pula wafat pada tahun 756 hijrah.

Ibnu Taimiyyah ini mati di dalam penjara dan beliau dipenjarakan kerana akidahnya yang sesat itu. Beliau bukanlah mati dizalimi seperti yang dikatakan oleh setengah pihak yang jahil tentang diri beliau.

Antara ulama yang menentang Ibnu Taimiyah:

a. Imam Mujtahid Al-Hafiz Taqiyuddin As-Subki
b. Al-Hafiz Abu Hayyan Al-Andalusi (seorang ahli tafsir yang terkenal)
c. Imam Tajuddin As-Subki (beliau anak kepada Imam Taqiyuddin As-Subki)
d. Al-Hafiz Salahuddin Al-Ala'ie
e. Al-Hafiz Az-Zahabi

Ulama-ulama yang disebutkan itu tadi ialah mereka yang hidup sezaman dengan Ibnu Taimiyah.

Dan anak murid Ibnu Taimiyah sendiri iaitu Al-Hafiz Az-Zahabi di dalam kitabnya An-Nasihah Az-Zahabiyah mengatakan: "Sesungguhnya Aku telah letih memerhati dan menilai Ibnu Taimiyah sehingga akhirnya aku menjadi bosan dalam jangka masa yang panjang.Tidaklah Ibnu Taimiyah itu dipinggirkan oleh ulama Mesir dan Syam, sehingga mereka memperkecilkannya, dan mereka mendustakannya serta mereka mengkafirkannya melainkan disebabkan sifat ujub dan takabbur kecintaan Ibnu Taimiyah yang mendalam untuk menjadi ketua segala ulama".

Pada mulanya Al-Hafiz Az-Zahabi ini memuji Ibnu Taimiyah kerana Ibnu Taimiyah ini adalah gurunya. Tapi selepas menyedari hakikat Ibnu Taimiyah yang sebenarnya, maka beliau pun meninggalkannya.

Antara ulama yang menyebut tentang hal sebenar Inbu Taimiyah ialah Al Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani dalam kitab beliau Fathul Bari Syarah Sohih Bukhari dalam kitab at-Tauhid, Ibnu Taimiyah mengatakan Arash adalah Qadim iaitu wujud sejak azali bersama Allah tanpa ada penciptanya, tidak syak kata-kata seperti ini adalah 'Kufur' iaitu murtad keluar dari agama islam.

Kemudian Ibnu Hajar Al-Asqalani dalam kitabnya yang berjudul Ad-Durar Al-Kaminah menyebutkan bahawa Ibnu Taimiyah dipenjara disebabkan oleh Fatwa-fatwa beliau yang bercanggah dengan Akidah umat Islam dan Ijmak Ulama.

Bahkan salah seorang anak murid Ibnu Taimiyah yang bernama Salahuddin As-Sofadi di dalam kitab tarikhnya yng berjudul 'A'yan Al-Asr Wa A' wan An-Nasr' turut menyebutkan hal yang serupa. Ini membuktikan bahawa apa yang diperkatakan oleh Ibnu Hajar Al-Asqalani adalah benar dan bukan dusta.

Antara ulama lain yang datang selepas Ibnu Taimiyah yang menghukumkan Ibnu Taimiyah sesat ialah Ibnu Hajar Al-Haithami, salah seorang ulama dalam mazhab Syafie, seperti yang dinyatakan di dalam kitabnya Al-Fatawa Al-Hadisiyah. Di dalam kitab ini beliau mengatakan: "Ibnu Taimiyah adalah insan yang dihina dan disesatkan oleh Allah".

Idea-idea sesat Ibnu Taimiyah ini kemudiannya dikutip pula oleh Muhammad bin Abdul Wahab (pengasas mazhab Wahabi). Beliau ini juga diisytiharkan oleh ulama zamannya sebagai seorang yang sesat. Bahkan bapanya sendiri iaitu Syaikh Abdul Wahab dan abang kandungnya Syaikh Sulaiman bin Abdul Wahab menghukumkan beliau sesat.

Abang kandungnya Syaikh Sulaiman Abdul Wahab telah mengarang sebuah kitab untuk menentang ajaran Muhammad Abdul Wahab yang dinamakan 'Fashlul Khitob Fi Raddi 'Ala Muhammad bin Abdul Wahab'.

Syaikh Ahmad Zaini Dahlan iaitu seorang mufti mazhab Syafie di Mekah mengarang sebuah kitab yang dinamakan 'Fitnah Al-Wahabiah'. Di dalam kitab ini beliau menyebut tentang kesesatan dan kekejaman yang dilakukan oleh Muhammad Abdul Wahab dan para pengikutnya.

Syaikh Muhammad bin Abdullah Al-Najdi Al-Hanbali di dalam kitabnya 'As-Suhub Al-Wabilah'menyebut tentang kejahatan Muhammad bin Abdul Wahab di mana beliau berkata : "Muhammad bin Abdul Wahab ini jika gagal membunuh orang yang dibencinya di waktu siang maka dia akan menghantar orang lain pada waktu malam untuk membunuh orang tersebut di pasar atau di tempat tidurnya. Ini disebabkan beliau menganggap orang yang menyalahi pendapatnya adalah kafir dan halal darahnya"

Seorang ulama fikah mazhab Hanafi yang bernama Ibnu Abidin di dalam kitabnya 'Raddul Mukhtar' (kitab Al-Bughaat) menyifatkan Muhammad Abdul Wahab dan para pengikutnya sebagai golongan Khawarij.

Golongan Wahabi inilah yang menghidup dan menyuburkan kembali idea Ibnu Taimiyah dan anak muridnya Ibnul Qayyim Al-Jauziyah. Dan sekarang mereka sedang menyebarkan dakwah mereka di seluruh dunia. Berhati-hatilah daripada mereka kerana mereka menyebarkan akidah golongan musyabbihah.
Wallahhu Taala A'lam Wa Ahkam.





Read more...

About This Blog

About This Blog

  © Free Blogger Templates Spain by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP